13 Febuari 2023 (Isnin). Pelinggam Cahaya Hall. Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Majlis Malam Komunikasi 2023, sebuah majlis penghargaan yang meraikan pelajar-pelajar tahun akhir PPK yang juga merupakan platform khas untuk memberikan anugerah dan penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang. Bertemakan Tradisional dan Elegan, majlis dihidupkan kembali setelah tiga tahun tidak diadakan akibat pandemik COVID-19 dan tradisi ini diteruskan kembali pada tahun ini bertempat di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni. Majlis dihadiri lebih 100 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun akhir PPK merangkumi pelajar bidang Kewartawanan, Pemujukan dan Filem & Penyiaran. Menurut Dekan PPK, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar, para pelajar telah melalui pelbagai cabaran semasa pandemik dan ia adalah antara pengalaman berharga buat mereka. Nasihat beliau kepada pelajar, mereka akan berdepan dengan lebih banyak cabaran apabila berada di dunia pekerjaan yang sebenar. “Be resilient, jadilah seorang yang mampu bangun semula apabila sudah terjatuh dan pesan saya juga anda untuk terus berhubung dengan kami kerana anda bakal menjadi contoh siswazah yang akan berbakti kepada alma mater untuk memajukan universiti,” kata Bahiyah. Sementara itu, wakil pelajar Rayane Mok Roc Tsen dalam ucapannya pula menzahirkan jutaan terima kasih kepada setiap pensyarah PPK yang telah banyak menyumbang ilmu dan perkongsian pengalaman sepanjang perjalanannya dan rakan seperjuangan sepanjang pengajian mereka. Turut diselitkan dalam majlis adalah sesi penghargaan dengan meraikan pensyarah yang telah berpencen pada 10 Februari yang lalu dan yang telah berkhidmat selama lebih 24 tahun di USM iaitu Profesor Madya Dr. Azman Azwan Azmawati. Hadir sama pada majlis adalah para pensyarah PPK dan para pengurusan tertinggi PPK.
Photos: USMTV Video: USMTV & Dzulfikar Azmi
School of Communication, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia Tel : +604-653 3603/4198 | Fax : +604-657 7736 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.